Hati-hati dengan RANSOMWARE !!

Nisha | 06:05:00 | 1Comments |

CyberSecurity Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan amaran ‘Ransomware’, sejenis malware atau virus berbahaya yang menyerang komputer dan me­ngehadkan akses kepada sistem sehingga bayaran tertentu dibuat kepada pencipta virus untuk membuka sekatan.

Aplikasi berbahaya ini cuba memaksa mangsa membayar wang tebusan dengan mengeluarkan mesej ‘pop-up’ di atas skrin komputer.

Mesej pop-up ini akan menyatakan komputer pengguna sudah dikunci dan semua fail di dalamnya dienkripsi sebelum meminta wang tebusan dibayar bagi memulihkan semula akses ke komputer mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab, pencipta Ransomeware meletakkan mangsa dalam ketakutan dan panik, seterusnya mengakibatkan mangsa menekan pautan ataupun membayar wang tebusan.

“Namun ia akan menjuruskan mereka lebih dalam kepada jangkitan malware atau virus yang lain pula,” katanya.

Ransomeware tidak menyasarkan kepada pengguna di rumah saja, malah operasi perniagaan dan syarikat turut terkesan dengan kerugian untuk membaiki dan memulihkan sistem atau fail yang rosak serta boleh menjejaskan reputasi syarikat.

Contoh mesej yang biasanya akan dipamerkan dalam ransomware termasuk ‘Your computer has been infected with a virus. Click here to resolve the issue’, ‘Your computer was used to visit websites with illegal content. To unlock your computer, you must pay a $100 fine’ atau ‘All files on your computer have been encrypted. You must pay this ransom within 72 hours to regain access to your data’.

Dr Amirudin berkata, jika komputer anda dijangkiti dan menerima mesej daripada ransomeware, jangan sesekali mengikut arahan pembayaran tetapi laporkannya kepada pusat keselamatan Cyber999.

“Membayar wang tebusan tidak menjamin fail yang dienkripsi akan dilepaskan tetapi ia hanya memberi wang kepada penjenayah dan mungkin memberi maklumat perbankan pengguna kepada mereka,” katanya.

Oleh itu, pengguna Internet serta pentadbir sistem perlu mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal untuk melindungi rangkaian komputer mereka daripada jangkitan ransomware.

kredit : harian metro, ukm

via here

 
p.s. hati-hati ya korang )):

1 comment:

C i k R e n e x said...

dapat jugak msg ni semalam. risau nak wat online banking.

© Copyright 2013 | ALL Right Reserved to Owner. Design With Love by Nurrul.